Safuwan Baharudin memberi bayangan untuk kekal bersama Selangor sambil mengakui Gergasi Merah sebagai pilihan pasukan terbaiknya ketika ini.

Menjelaskan perkara itu kepada wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam, tonggak import kelahiran Singapura itu teruja untuk melengkapkan tempoh lima tahunnya selaku pemain import Liga Malaysia (Liga-M).

"Saya ada beberapa perancangan tetapi (tidak kesampaian) kerana COVID-19 menyebabkan keadaan tidak menentu.

"Jadi hasrat saya ketika ini tertumpu kepada usaha memberikan yang terbaik bersama Selangor.

"Saya tidak sangka dapat menyarung jersi ini selepas meninggalkan Pahang," kata pemain tengah itu.

Safuwan dicanang untuk kekal bersama Selangor sekalipun timbul spekulasi pasukan itu akan merombak barisan pemain import musim depan.

Ia susulan berlaku perubahan dalam barisan kejurulatihan yang menyaksikan kontrak jurulatih, B. Sathianathan, ditamatkan bulan lalu.




Untuk rekod, ini musim pertamanya bersama juara Piala Malaysia 33 kali itu.

"Insya-Allah saya harap dapat capai sasaran musim ini iaitu memenangi satu piala.

"Saya bangga kerana telah mengharungi empat tahun sebagai pemain import dengan mempamerkan prestasi di tahap tertinggi.

"Selangor salah satu pasukan gergasi jadi mengapa tidak (sambung kontrak)."