"Safiq Rahim tiada kaitan dengan kami." Itu tegas Pengurus PKNS FC, Mahfizul Rusydin Abd. Rashid, yang menolak spekulasi bekas ketua pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) berkenaan akan bersama mereka pada musim 2019.

JDT secara rasmi melepaskan Safiq untuk menghadapi musim depan melalui entri di Facebook milik Johor Southern Tigers, semalam.

Jurulatih PKNS, Datuk K. Rajagobal, bulan lalu sempat mengesahkan kepada Nadi Arena bahawa Safiq tiada dalam perancangannya.

Namun, khabar angin terbaru sekali lagi mengaitkan Safiq dengan skuad Semut Merah apabila dia difahamkan akan menyertai salah sebuah pasukan di Lembah Klang.

"Kami selaku kelab kecil berbesar hati dikaitkan dengan pemain yang mempunyai nama besar seperti Safiq Rahim.

"Namun, bagi pihak kami, saya sahkan tiada apa-apa rundingan dengan pihak Safiq Rahim," kata Mahfizul.

Dengan pemotongan bajet kewangan pasukan hampir 40 peratus berbanding musim lalu, PKNS dijangka akan mempertaruhkan ramai bakat muda.

Antaranya, pertahanan bawah 19 tahun negara, Shivan Pillay Asokan, yang bakal diberi peluang berada dalam skuad senior selepas bermain dalam Piala Presiden musim ini.

"Shivan sememangnya dalam perancangan Rajagobal untuk musim depan.

"Dia mampu memberi sumbangan kepada pasukan senior pada masa akan datang," katanya lagi.