Safee semakin hampir pulang ke Kuala Lumpur 

Oleh Shaiful Shamsudin 30 Oktober 2020 14907
 Safee semakin hampir pulang ke Kuala Lumpur 
Safee Sali tidak menolak untuk kembali menabur bakti bersama Kuala Lumpur dalam kancah Liga Super pada musim depan. 

Kelibat bekas penyerang kebangsaan itu mula mencuri perhatian ketika memperkuatkan The City Boys sebelum menyertai Selangor pada 2006.

Kontrak Safee bersama Petaling Jaya City bakal berakhir penghujung musim ini dan pasukan itu dikhabarkan bakal membuatkan rombakan besar termasuk membabitkan posisi jurulatih. 

"Jika ada tawaran yang memerlukan khidmat saya, saya bersedia untuk terus beraksi dan memberikan segala yang ada. 

"Dalam fikiran, saya tidak bercadang untuk menggantung but dalam tempoh setahun dua ini. 

"Saya masih mampu mengisi tempat terutama (sebagai) penyerang tempatan," katanya yang pernah menggegar liga Indonesia. 





Pasukan Warga Kota itu memiliki beberapa pemain veteran antaranya Shukor Adan (41 tahun) dan Indra Putra Mahayuddin (39).

Presiden Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA), Khalid Samad, menjelaskan pasukan bimbingan Nidzam Adzha Yusoff itu musim ini mengakui sedang mengenal pasti beberapa pemain yang sesuai untuk membawa cabaran mereka di peringkat lebih tinggi tahun depan.

"Yang mana (pemain) berminat (menyertai kami), kami juga begitu tetapi dalam masa sama, kami terhad dalam soal bajet. 

"Yang penting, pemain itu berdisiplin dan memberikan komitmen tinggi sebab kami serius untuk meningkatkan mutu permainan di Kuala Lumpur dan menaikkan nama KLFA sebagai pasukan utama dalam Liga Super", kata Khalid. 

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen