Safee sedia sambut Rajagobal di PKNS 

Oleh Penulis Jemputan 19 Oktober 2017 5576
Safee sedia sambut Rajagobal di PKNS 
Penyerang merangkap ketua pasukan PKNS FC, Safee Sali, berasakan Datuk K. Rajagobal sebagai calon paling layak untuk membimbang skuad Semut Merah pada musim depan berdasarkan pengalamannya yang pernah bersama dengan bekas jurulatih kebangsaan itu sebelum ini. 

Safee dan Rajagobal membentuk gandingan emas bersama skuad Harimau Malaya dalam Piala Suzuki AFF 2010. 

Tatkala Safee mencetuskan impak di atas padang, Rajagobal pula ketika itu menjelmakan sentuhan magis untuk memastikan kejayaan bersejarah buat bola sepak negara. 

Dan sejak Rajagobal tidak lagi bersama skuad kebangsaan pada penghujung 2013, hubungan kedua-duanya tampak kembali bertaut apabila Rajagobal dilihat hampir pasti mengambil alih PKNS, musim depan. 

"Sesiapapun berpeluang untuk membimbing PKNS pada musim depan. Terserah kepada pihak pengurusan untuk menentukannya. 

"Antara jurulatih yang digembar-gemburkan adalah Rajagobal dan jika itu menjadi kenyataan, ia bagus untuk imej PKNS dan pemain-pemain," kata bekas penyerang kelab Pelita Jaya di Indonesia itu. 

Kelab yang berpangkalan di Selangor itu mengadakan perlawanan persahabatan menentang Kuala Lumpur, semalam dan pertemuan itu turut disaksikan Rajagobal. 

Bagaimanapun, beliau ketika ditemui enggan mengulas kehadirannya. 

Selain Rajagobal, turut dicanang mengisi kekosongan ketua jurulatih yang kini dipangku Adam Abdullah itu ialah bekas pengendali Johor Darul Ta'zim (JDT), Mario Gomez. 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen