Dua tonggak veteran PKNS FC, Safee Sali dan Khyril Muhymeen Zambri, bersedia untuk memainkan watak penting dalam usaha melakar keputusan positif berdepan Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam aksi Liga Super di Larkin, malam ini.

Pertemuan itu akan menyaksikan Safee turun berdepan bekas pasukannya buat kali pertama sejak berhijrah ke PKNS pada musim lalu, selepas syarat perjanjian pelepasan di antara JDT dan pasukannya menyebabkan dia tidak dapat beraksi sebelum ini.

Bagi Safee, dia bersedia berdepan JDT dan yakin PKNS kini di tahap terbaik untuk menangani cabaran juara bertahan Liga Super itu.

"Saya rasa ini masa yang sesuai untuk kami mengambil peluang sebelum jendela perpindahan dibuka dan kami juga berada dalam momentum yang baik untuk sekurang-kurangnya membawa pulang satu mata.

"Jika meraih kemenangan, ia satu bonus," kata Safee.

Dalam masa sama, semangat sama turut dilaungkan Khyril yang dijangka mengisi ketiadaan Mahali Jasuli di sayap kanan, juga atas sebab syarat pinjaman pemain kebangsaan itu ke PKNS.

"Kami harus hadapinya kerana sedar penonton JDT pasti akan memberikan sokongan padu di laman mereka.

"Bagi saya, PKNS kini sedang konsisten, cuma perlu mengekalkan momentum," ujar Khyril.