Pengendali Harimau Malaysia, Datuk Ong Kim Swee, membuat kejutan apabila menyenaraikan Safee Sali dalam skuad 26 pemain untuk kem latihan pusat fasa akhir menjelang Kejohanan Piala AFF Suzuki, bulan depan.

Selepas dua aksi persahabatan bertemu Singapura dan Afghanistan pada awal bulan ini, Kim Swee mengumumkan skuad terbarunya, hari ini.

Lima pemain yang digugurkan terdiri daripada dua pemain PDRM FA, Latiff Suhaimi dan Fakrul Aiman Sidid serta Adam Nor Azlin (Selangor), Fazrul Hazli Kadri (Perak) dan Azrif Nasrulhaq (Johor Darul Ta'zim).

Namun, paling mencuri tumpuan apabila Safee kembali tersenarai untuk muncul satu-satunya nama baru yang dipanggil bagi memperkuatkan jentera serangan skuad Harimau Malaysia.

"Safee mempunyai pengalaman yang cukup luas dan reputasi yang cukup baik dalam Piala AFF Suzuki.

"Dia pernah menjadi penjaring terbanyak Piala AFF Suzuki 2010. Bukan itu sahaja, kehadirannya boleh membantu bahagian serangan kerana dia pernah bergandingan baik dengan Norshahrul (Idlan Talaha).

"Pada masa yang sama, dia boleh membimbing pemain-pemain muda," jelas pengendali kebangsaan itu.

Mengulas mengenai keputusannya menggugurkan lima pemain terbabit, termasuk Azrif, Kim Swee mempunyai pandangannya.

"Saya mengambil keputusan mengetepikan Azrif kerana saya mempunyai pemain-pemain seperti Hadin (Azman), Safawi (Rasid), Syazwan (Zainon) dan Zaquan (Adha Abd Radzak) yang boleh bermain di mana-mana bahagian sayap."

Pemain-pemain negara akan melaporkan diri pada Selasa depan kecuali pemain yang terlibat dengan final Piala Malaysia perlu melaporkan diri pada 1 November.

Skuad negara akan menentang Papua New Guinea di Stadium Shah Alam, 14 November ini sebelum berlepas ke Yangon, Myanmar pada 17 November untuk menghadapi Kejohanan AFF 2016.

Senarai penuh pemain untuk latihan pusat skuad kebangsaan:


SHAHRUL MOHD SAAD

NAZIRUL NAIM CHE HASHIM

HAFIZUL HAKIM KHAIRUL NIZAM JOTHY

MOHAMAD NASIR BASHARUDIN

MOHD IRFAN FAZAIL

MOHAMAD ZAQUAN ADHA ABD RADZAK

DARREN LOK

MOHD AMRI YAHYAH

MOHAMAD FADHLI MOHD SHAS

MOHD SAFEE MOHD SALI

AHMAD FAKRI SAARANI

MUHAMMAD HADIN AZMAN

KHAIRUL FAHMI CHE MAT

RONNY HARUN

MATTHEW THOMAS DAVIES

AHMAD KHUZAIMI PIEE

MUHAMMAD SAFAWI RASID

NORSHAHRUL IDLAN TALAHA

BADDROL BAKHTIAR

MOHD RIZAL MOHD GHAZALI

MOHD SYAZWAN ZAINON

KHAIRUL HELMI JOHARI

MUHAMMAD SHAHROM ABDUL KALAM

MOHD KHAIRULAZHAN MOHD KHALID

AHMAD HAZWAN BAKRI

S. VEENOD