Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) telah memberi cadangan kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) supaya membuat penstrukturan semula jadual Liga Super sekiranya ia bersambung semula nanti.

Presidennya, Datuk Peter Anthony, berkata, penstrukturan semula jadual adalah penting bagi mengelak kekerapan perjalanan terutama bagi pasukan Sabah dan Sarawak yang terpaksa menaiki pesawat untuk ke gelanggang lawan di semenanjung.

"Selain daripada kos penerbangan yang tinggi, apabila saingan Liga Super ini bermula nanti, wabak Covid-19 belum tentu telah hilang sepenuhnya dan ianya berisiko kepada pasukan yang sering menggunakan pesawat dan selalu bertukar hotel.

"Kami harap pihak FAM atau MFL (Liga Bola Sepak Malaysia) dapat melihat dan mengkaji perkara ini," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Baru-baru ini, Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam berkata, saingan Liga Malaysia mungkin disambung semula lebih awal sekiranya angka kes positif Covid-19 terus menurun dalam masa terdekat.

Katanya, rancangan MFL sebelum ini adalah pasukan kembali berlatih pada Ogos dan bermain pada September namun ianya mungkin boleh berlaku lebih awal iaitu pasukan kembali berlatih pada Julai dan beraksi semula pada Ogos.

Sementara itu, Peter berkata skuad Tambadau kini hanya menunggu lampu hijau daripada FAM dan MFL untuk kembali semula ke padang menjalani latihan.

"Dengan perancangan MFL yang mungkin akan menyambung semula saingan Liga Super pada September, sudah pasti kita mahu pasukan bersiap sedia sepenuhnya.

"Ini musim pertama pasukan Tambadau beraksi semula dalam Liga Super sejak sekian lama, kita tidak mahu menjadi sekadar pelengkap dan sudah pasti kita mahu memberikan yang terbaik untuk menyaingi pasukan lain sekali gus mendapat kedudukan baik dalam liga," katanya.

Setakat empat aksi liga sebelum ini, Sabah kini di tangga keempat dengan lima mata hasil daripada satu kemenangan, dua kali seri dan tewas sekali.

Skuad kendalian Kurniawan Dwi Yulianto itu memulakan saingan dengan keputusan seri tanpa jaringan dengan PDRM di gelanggang lawan dan kemudiannya menewaskan Felda United 3-1 di Stadium Likas.

Bagaimanapun, Tambadau kemudian kecundang 0-2 kepada Tok Gajah di Kuantan dan seterusnya mencatat keputusan seri 2-2 dengan Perak dalam aksi di gelanggang sendiri selepas itu.