Perubahan pengurusan Sabah FC menyaksikan jurulatih dari Indonesia, Kurniawan Dwi Yulianto, kembali dilantik sebagai pengendali pasukan itu bagi saingan Liga Malaysia 2021.

Ia disahkan oleh pemangku Presiden Persatuan Bolasepak Sabah, Datuk Rahman Zakaria, selain menjelaskan pengurusan terbaru akan merombak semula perancangan sebelum ini.

Sebelum ini, Sabah melantik Lucas Kalang Laeng sebagai ketua jurulatih untuk menghadapi saingan musim depan ketika Datuk Verdon Bahanda selaku Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), namun telah meletak jawatan Disember lalu.

Kini, perubahan pengurusan dilakukan, ahli perniagaan, Khairul Firdaus selaku CEO Sabah FC dan kembali meneruskan perjalanan Kurniawaan bersama Sabah.

Kurniawan tiba di Kota Kinabalu hari ini dan akan menandatangani kontrak dalam masa terdekat.

"Kami mendapatkan semula khidmat Kurniawan. Dia seorang jurulatih yang berkualiti dan memimpin pasukan dengan baik sekaligus memastikan mengekalkan pasukan dalam Liga Super," kata Rahman.

Sementara itu, status Jelius Ating sebagai pegurus pasukan dan penolong jurulatih juga menjadi tanda tanya selain akan memilih pemain tersendiri.

"Setakat ini, penolong jurulatih masih belum dilantik sementara pemain-pemain baru akan dibawa masuk ke dalam pasukan menjelang musim yang bakal bermula."