Sabah masih nilai kekal khidmat Kurniawan 

Oleh Shaiful Shamsudin 30 Oktober 2020 682
 Sabah masih nilai kekal khidmat Kurniawan 
Kedudukan Kurniawan Dwi Yulianto mungkin terjejas sebelum dapat membuktikan kemampuan sebenarnya dalam Liga Malaysia (Liga-M). 

Di sebalik membawa ke Liga Super musim ini, Jelius Ating terpaksa memberi laluan kepada pengendali dari Indonesia itu untuk menerajui pasukan berikutan tidak memenuhi syarat pelesenan jurulatih yang ditetapkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM). 

Memandangkan Jelius semakin hampir untuk menamatkan kursus kejurulatihan itu, sentuhan Kurniawan untuk musim depan menjadi tanda tanya.

Pasukan itu menutup tirai musim ini lebih awal apabila semalam memutuskan untuk menarik diri daripada menyertai Piala Malaysia 2020 dan meneruskan perlawanan terakhir Liga Super bertemu UiTM FC di Stadium Hang Jebat, esok, kerana gagal mendapatkan kelulusan sekatan perjalanan daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Kami akan menyediakan laporan prestasi kami sepanjang tahun ini, terpulang kepada pengurusan untuk menentukan masa depan saya di Sabah. 

"Tetapi terus terang saya masih sangat berharap (untuk terus menggalas tanggungjawab memandangkan) pasukan ini mempunyai prospek yang bagus termasuk semangat juang tinggi pemainnya. 

"Saya harap khidmat saya dikekalkan setahun lagi agar saya dapat membuktikan mampu membawa Sabah pergi lebih jauh," katanya. 

 

TM PIALA MALAYSIA 2020 DITERUSKAN TANPA PENYERTAAN SABAH, FORMAT KENAIKAN DAN PENYINGKIRAN CIMB LIGA SUPER...

Posted by Malaysian Football League on Thursday, October 29, 2020


Pengurusan Persatuan Bolasepak Sabah (SAFA) sedang meneliti pencapaian pendatang baru Liga Super itu musim ini dan tidak menolak bekas penyerang berusia 44 tahun tersebut diberi peluang untuk menonjolkan kewibawaannya. 

"Bagus juga dia dikekalkan kerana sudah tahu situasi pemain.

"Mungkin kini dia semakin memahami kelemahan dan kekuatan pasukan, dia ada perancangan dan boleh kekal (mengemudi) pasukan ini,", kata pengurus pasukan Tambadau, Henry Simpon. 
 

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen