Pengumuman Menteri Kanan Kluster Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, yang membenarkan kem latihan untuk atlet-atlet Program Road to Tokyo (RTT) bulan depan turut membangkitkan persoalan tentang bola sepak Malaysia, adakah wajar latihan sukan itu turut dijalankan dalam masa sama.

Sejurus Mesyuarat Khas Menteri-Menteri di Putrajaya hari ini, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, muncul dalam satu temu bual eksklusif bersama Astro Arena sambil menegaskan kelonggaran yang diberikan kepada mana-mana jenis sukan perlu melalui proses bagi mengelak tiada jangkitan baru novel korovirus (Covid-19) akan berlaku sekiranya kelonggaran itu diberikan.

"Ini bukan di bawah bidang kuasa saya sebagai menteri belia dan sukan, Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) adalah di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang diterajui Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Apa pun yang ingin dilakukan, kami perlu mendapatkan kelulusan daripada KKM dan MKN," katanya.

Dalam pada itu, pasukan bola sepak tempatan sudah bersiap sedia dengan perancangan untuk menjalani latihan bermula 1 Jun depan sementara aksi kompetitif yang tertangguh dijangka akan bermula September depan.

"Kami akan mengeluarkan satu (modul) latihan yang akan merangkumi penggunaan bola dan tanpa bola," kata jurulatih Selangor, B. Sathianathan, kepada wartawan Nadi Arena, Norsyarafina Nasrom, hari ini.

Menurut ketua jurulatih Petaling Jaya FC, K. Devan: "Kami akan mengamalkan penjarakan sosial, pegawai akan memakai penutup muka dan sarung tangan selain memeriksa suhu bahan pemain."

Jurulatih Terengganu, Nafuzi Zain, menjangkakan ia memerlukan usaha disiplin tinggi bukan sahaja untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang bakal diperkenalkan kelak, malah dalam aspek mengembalikan kecergasan.

"Pemain ketika ini di tahap kosong daripada semua segi selepas dua bulan sekadar duduk rumah," katanya.

Sementara itu, Liga Bolasepak Malaysia (MFL) menegaskan mereka akan memainkan peranan utama dalam usaha menghidupkan semula Liga Malaysia (Liga-M) yang hanya akan membabitkan pertandingan di peringkat tertinggi musim ini.

"Pasukan perlu melalui MFL untuk mendapatkan kebenaran.

"Ini kerana kami perlu berhubung dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang akan berurusan dengan MKN.

"Ada rantaian di situ, mereka tidak boleh buat sesuka hati, ini merupakan perkara serius," kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MFL, Datuk Ghani Hassan.