Rowley mahu tingkat penguasaan Bahasa Melayu sepanjang PKP

Oleh Farizal Yusoff 8 April 2020 263
Rowley mahu tingkat penguasaan Bahasa Melayu sepanjang PKP
Setiap pemain mempunyai cara tersendiri untuk memanfaatkan cuti penangguhan
Liga Malaysia (Liga-M) akibat penularan Covid-19. Selain menjalani latihan secara
bersendirian mengikut modul yang ditetapkan barisan kejurulatihan, mereka juga
memilih beberapa aktiviti untuk mengisi kekosongan tersebut.


Pemain kacukan Malaysia-Australia, David Rowley, yang kini beraksi bersama skuad
Kedah dalam saingan Liga Super, memilih untuk meningkatkan penguasaan Bahasa
Melayu bagi memudahkannya memahami dan berkomunikasi dengan lebih
berkesan di atas padang.

“Setakat ini, saya cuma memahami beberapa patah perkataan dalam Bahasa
Melayu.

“Saya belajar di internet dan cuba berinteraksi dengan pemain tempatan bagi
menambahkan perbendaharaan kosa kata.

“Cukup seronok dan mereka juga sentiasa menyokong saya untuk lebih yakin
bertutur dalam Bahasa Melayu.

“Selain itu, cuti musim Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) juga menjadi ruang
terbaik untuk melakukan aktiviti santai bersama keluarga seperti menonton
televisyen, bergotong royong dan sebagainya,” katanya.

Rowley, yang juga bekas pemain tengah Kelantan, optimis skuad Lang Merah
kendalian Aidil Sharin Sahak itu akan kembali bangkit meneruskan usaha mencabar
kejuaraan Liga Super biarpun bermula agak perlahan pada awal musim ini.

“Biarpun bermula dengan agak perlahan, kejayaan terakhir mengatasi
pasukan pilihan, Selangor, 2-0 di gelanggang sendiri memberi lebih motivasi kepada
pemain untuk terus memberi tekanan kepada pasukan yang berada di kelompok
teratas liga,” ujarnya.

Untuk rekod, Kedah kini berada di tangga ketujuh Liga Super dengan empat mata
hasil daripada satu kemenangan dan satu keputusan seri, enam mata di belakang
pendahulu, Johor Darul Ta’zim (JDT).

Kredit Foto: Kedah FA

Tentang Penulis

Farizal Yusoff

Komen