Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Rosman Ibrahim, mengakui persatuan itu kini berdepan kesukaran menghadapi saingan Liga Malaysia musim depan apabila perlu mencari dana sendiri bagi membiayai perbelanjaan pasukan.

Rosman, ketika ditemui Nadi Arena semalam, menegaskan setakat ini mereka hanya mengetahui skuad Selangor tidak akan diberi sebarang peruntukan untuk saingan musim depan oleh kerajaan negeri menerusi laporan media arus perdana.

Barisan Exco FAS akan mengadakan satu mesyuarat khas Sabtu ini bagi membincangkan usaha untuk mendapatkan dana.

"Kami mendapat tahu berita tersebut melalui akhbar dan tidak menerima sebarang maklumat rasmi daripada presiden.

"Presiden tidak menyatakan mengenai kami tidak akan menerima dana dan yang terbaru, akhbar melaporkan kami tidak boleh menggunakan Stadium Shah Alam sebagai stadium rasmi kami. Semua perkhabaran tersebut kami hanya mengetahuinya melalui akhbar.

"Kini kami sedang berusaha untuk mendapatkan penaja baru. Tahun hadapan, bulan pertama akan menjadi bulan yang amat mencabar untuk kami. Jika kami mendapat perkhabaran ini seawal Julai lalu, mungkin kami sudah melakukan persediaan," kata Rosman.

Dalam pada itu, mantan Presiden FAS, Datuk Aini Taib, membayangkan kesukaran buat FAS mengendalikan pasukan tanpa sokongan kerajaan negeri.

Aini menyarankan barisan Exco FAS dan Presiden FAS, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, segera duduk semeja dan menyelesaikan segala perselisihan demi bola sepak negeri Selangor.

"Jika anda telah dipilih sebagai presiden, anda perlu menunjukkan rasa hormat yang tinggi atas jawatan tersebut. Jika ada sebarang perkara yang berlaku, mereka perlu duduk semeja dan berbincang dengan sebaiknya.

"Perselisihan seperti ini akan menjadi masalah dan merugikan bola sepak itu sendiri," jelas Aini.