Bekas pemain PDRM, K. Reuben mengharapkan khabar gembira dapat diterima dari Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP) untuknya berkhidmat di bawah pasukan itu, musim depan.

Reuben masih belum mengikat kontrak dengan mana-mana pasukan secara rasmi selepas tidak lagi bersama skuad The Cops untuk musim depan.

Bagaimanapun, dia baru sahaja selesai menjalani sesi latihan selama dua minggu bersama skuad Harimau Kumbang awal Disember lalu dan kini masih menunggu keputusan rasmi untuknya menyarung jersi negeri itu.

Selepas mengalami kecederaan ACL (anterior cruciate ligament) sejak 2014, pemain berusia 26 tahun ini optimis musim 2017 adalah masa terbaik untuknya kembali membuktikan kemampuan beraksi.

"Mana-mana pasukan yang saya wakili, saya akan ambil peluang itu untuk membuktikan bahawa saya sudah kembali lebih cergas dan bebas daripada sebarang kecederaan," katanya ketika ditemui dalam satu majlis meraikan sambutan Hari Natal bersama ahli keluarga dan anak-anak yatim di Desa Amal Jireh, Semenyih.

Reuben menyifatkan sambutan Hari Natal tahun ini lebih bermakna dalam mengembalikan semangatnya untuk meraih prestasi lebih cemerlang tahun depan.

"Di sebalik kerisauan terhadap masa depan saya, saya gembira kerana dapat menikmati suasana Krismas bersama ahli keluarga dan bersama mereka yang memerlukan," katanya.