Syarikat Telekomunikasi Prabayar, Red One Network Sdn Bhd, menyatakan hasrat menjadi penaja utama skuad The Red Warriors (TRW) dalam usaha memastikan Kelantan kekal bersaing dalam Liga Malaysia (Liga-M) musim depan.

Ketua Pegawai Pemasarannya, Ben Teh, berkata pihaknya bersedia untuk mengadakan perbincangan dengan lebih lanjut bersama Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) dalam masa terdekat.

“Setakat ini, belum ada perbincangan rasmi tetapi pihak kami sudah ditanya oleh KAFA sama ada Red One masih berminat untuk menjadi penaja TRW musim depan.

“Bagi pihak Red One, kami sudah mempunyai hubungan tajaan selama dua tahun (2015 dan 2016) sebagai penaja bersama dan kami berharap dapat mengadakan satu pertemuan rasmi dengan Pemangku Presiden KAFA, Datuk Seri Afandi Hamzah, sebelum 29 Disember ini,” katanya dalam sidang media di Kota Bharu, petang semalam.

Beliau, bagaimanapun, enggan menyatakan jumlah tajaan yang bakal disalurkan, namun ia difahamkan melibatkan nilai jutaan ringgit sesuai dengan status penaja utama pasukan gergasi Pantai Timur ini.

“Nilai tajaan bukanlah menjadi persoalan utama kerana apa yang lebih penting, kedua-dua pihak mendapat keuntungan bersama di sebalik penajaan tersebut.

"Saya percaya, kalau betul Red One menjadi penaja utama nanti, Kelantan mampu bangkit menjadi sebuah pasukan yang disegani kerana kami mempunyai prinsip yang jelas, iaitu apabila berjanji, kami akan tunaikan.

“Saya belum boleh umumkan sebarang nilai tajaan kerana perlu duduk berbincang dengan semua pemegang saham Red One dahulu,” katanya.

Skuad TRW menjadi tumpuan media apabila KAFA mengancam untuk menarik diri daripada saingan Liga-M musim depan akibat gagal mendapatkan jumlah tajaan yang mencukupi.

Untuk rekod, dalam mesyuarat khas baru-baru ini, KAFA mengakui sekadar mempunyai RM800,000 dan jauh daripada sasaran awal RM15 juta bagi mengharungi musim 2017 dan menyerahkan status penyertaannya kepada Kongres Khas KAFA yang akan diadakan di Pengkalan Chepa, 29 Disember ini.