Belum ada sebarang keputusan rasmi melibatkan rayuan jurulatih tiga pasukan yang memohon kelonggaran untuk mengepalai barisan kejurulatihan masing-masing menjelang Liga Malaysia (Liga-M) 2021 biarpun masih belum memiliki lesen kejurulatihan Pro AFC.

Jurulatih yang dimaksudkan itu ialah Nidzam Adzha Yusoff (Kuala Lumpur), Jelius Ating (Sabah) dan Manzoor Azwira (Pulau Pinang).

Bagaimanapun, harapan mereka itu seakan-akan sukar untuk dicapai apabila Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memberikan gampbaran yang cukup jelas bahawa badan induk itu tidak bercadang untuk mengubah peraturan yang telah ditetapkan.

Keputusan mengenai rayuan itu dijangka akan diketahui dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pelesenan Kelab FAM esok dan sekiranya ditolak, tiga pasukan berkenaan perlu mencari calon jurulatih baru.

Dalam satu temu bual Nadi Arena, Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam, berkata: "Kedudukan FAM adalah untuk mengikut segala yang terkandung dalam peraturan dan undang-undang demi memastikan kami selari dengan proses-proses yang dilaksanakan sebelum ini.

"Itu daripada pandangan saya tetapi jawatankuasa yang akan bersidang esok akan membincangkannya dengan lebih mendalam dan akan membuat keputusan selanjutnya," katanya.