Biarpun usianya sudah hampir mencecah 40 tahun, kelibat Indra Putra Mahyuddin masih relevan dalam arena bola sepak Malaysia.

Mungkin ramai yang tertanya-tanya apakah yang masih dicari pemain kelahiran Perak itu selepas kejayaan merekodkan 100 gol dalam saingan Liga Super selain turut mewarnai bola sepak antarabangsa sekitar tahun 2000 hingga 2015.

Segala-galanya disebabkan rasa cintanya terhadap sukan bola sepak yang masih belum bernoktah.

Dalam satu temubual eksklusif bersama wartawan Nadi Arena, Fina Nasrom, pemenang lima kali liga divisyen utama negara itu berkata: "Saya rasa tiada rahsia untuk didedahkan. Sebenarnya ia mengenai hati kita sendiri. Jika kita ingin mengusahakan sesuatu, sudah pasti kita mempunyai keazaman dalam diri.

"Apabila kita mempunyai keazaman, ia akan membawa kita ke atas untuk diteruskan bagi berlumba dengan pemain yang sedia ada sekarang ini.

"Sasaran saya kini adalah untuk memastikan saya masih mampu untuk menjaringkan gol. Apa yang paling penting, apabila kita sudah berada di penghujung (karier), kita mahukan satu kejayaan buat pasukan sebelum bersara.

"Ia akan menjadi perkara yang manis apabila kita masih mampu membuat sesuatu kepada pasukan meskipun sudah di penghujung karier," katanya.

Indra Putra turut menjelaskan rekod 100 gol itu bukanlah sesuatu untuk dibanggakan tetapi ia sepatutnya dijadikan pencetus semangat buat pemain muda lain untuk mengatasi pencapaian itu.

"Alhamdulillah, dengan kejayaan menjaringkan gol itu, saya rasa ia bukanlah sesuatu untuk dibanggakan.

"Selepas ini mungkin ada pemain yang mampu untuk memecahkan rekod saya.

"Saya berharap rekod itu mampu meningkatkan semangat pemain muda agar mengejar rekod saya supaya mereka dapat pergi lebih jauh dan menandingi saya," katanya lagi.