"Saya mahu menjaringkan gol sebanyak mungkin," demikian azam penyerang import baru PKNS FC, Rafael Ramazotti, yang menyertai skuad Semut Merah dengan reputasi hebat selaku penjaring terbanyak Liga Singapura 2015 dan 2016.

PKNS terus memperkasakan pasukan dengan merekrut penggempur Brazil itu setelah membawa masuk Mahali Jasuli dari Johor Darul Ta'zim (JDT).

"Saya gembira di sini.

"Saya menerima banyak tawaran daripada beberapa negara, termasuk Thailand, tetapi memilih untuk datang ke sini.

"Ini satu lagi cabaran dalam karier saya," katanya.

Ramazotti hadir dengan reputasi 69 gol sepanjang tiga musim bersama DPMM FC, termasuk 14 gol musim lalu.

Dengan susuk berketinggian 1.92 meter, Ramazotti berharap kehadirannya akan dirasai dalam kancah Liga Super apabila berkata: "Saya harap dapat membantu pasukan mencapai seberapa banyak kemenangan.

"Sudah tentu saya perlu menjaringkan gol. Itulah tugas utama penyerang dan inilah cabaran saya untuk terus menyumbat gol."