Jurulatih PKNS FC, Datuk K. Rajagobal, mengakui keperluan pasukannya untuk mengadakan latihan pra-musim bagi persediaan menghadapi Liga Malaysia (Liga-M) musim depan walaupun peruntukan kali ini lebih terhad berbanding musim lalu.

PKNS antara pasukan liga tempatan yang terpaksa melakukan pemotongan bajet pembelian pemain untuk mengharungi cabaran Liga-M 2019.

Dengan mengetepikan beberapa pemain senior ternama, skuad The Red Ants tampak lebih mengutamakan pengambilan pemain muda yang akan didedahkan kepada aksi di peringkat tertinggi.

Begitupun, Rajagobal tetap berharap pasukannya dapat melakukan persiapan rapi menerusi latihan pra-musim sama ada di dalam atau di luar negara.

"Kami akan menilai venue yang sesuai untuk melakukan persiapan pra-musim di luar negara.

"Jika tidak, kami akan melakukan persiapan itu di dalam negara sahaja.

"Kami perlu menghasilkan suasana berbeza dalam pasukan bagi menghadapi musim depan," katanya.

Bekas ketua jurulatih kebangsaan itu mahu memastikan barisan pemainnya lengkap terlebih dahulu sebelum mengadakan latihan pra-musim tersebut.

Difahamkan PKNS kini masih dalam pencarian tiga pemain import baru selepas mendapatkan penyerang berbisa dari Liberia, Kpah Sean Sherman.

Mengenai kuota pemain tempatan, ia kelihatan sudah lengkap menerusi kehadiran lapan muka baru seperti Akram Mahinan, Fandi Othman dan Shafiq Shaharuddin.