Pengendali PKNS FC, Datuk K. Rajagobal, berpuas hati dengan kelibat dua pertahanan muda pasukannya, Rodney Calvin Akwensivie dan Annas Rahmat, dalam aksi persahabatan di antara PKNS FC dan PKNP FC.

Dalam aksi ujian semalam, kelab Selangor itu menang 2-0.

Bagi bekas pengendali Harimau Malaya itu, kedua-dua pemain itu menjelmakan kematangan yang baik berlandaskan aksi yang dipamerkan ketika berdepan PKNP.

Rodney pernah berada di bawah kendalian Rajagobal di Sarawak musim lalu manakala Annas merupakan bekas pemain Harimau Muda B bersama Negeri Sembilan.

"Kami perlu bersabar (dengan pemain-pemain muda ini). Kami perlu memberikan mereka peluang walaupun saya merehatkan pemain import daripada bergandingan dengan mereka dalam perlawanan ini.

"Saya lihat Rodney dan Annas mempunyai potensi yang besar," ujarnya.

Dalam masa sama, Rajagobal turut berpuas hati dengan aksi keseluruhan pasukannya.

Rajagobal sedar dia perlu segera memastikan senarai awang import pasukannya dan akan memutuskannya dalam masa terdekat.

"Ada beberapa pemain import yang menunjukkan sesuatu, saya akan memikirkannya dan berbincang dengan barisan kejurulatihan sebelum kami membuat keputusan.

"Ini adalah aksi persahabatan kedua PKNS, saya tidak boleh menunggu lama untuk membuat keputusan.

"Tetapi, saya tidak mahu terburu-buru," katanya.

Aksi berdepan kelab dari Perak itu menyaksikan Khyril Muhymeen Zambri dan penyerang import dari Colombia yang diuji, Romel Morales, mencetak nama selaku penjaring.