Jurulatih PKNS FC, Datuk K. Rajagobal, membayangkan cabaran lebih sukar menanti dengan tidak meletakkan sasaran mana-mana trofi bagi saingan Liga Super edisi 2019.

Trofi Liga Perdana 2011 menjadi kejuaraan terakhir yang diraih PKNS, namun Rajagobal masih belum berputus asa untuk meningkatkan keyakinan pemain pasukan itu untuk beraksi musim depan.

Fokus utama sepanjang pra-musim menyaksikan Rajagobal mahu memperbaiki persefahaman pemain dan meningkatkan prestasi dalam setiap perlawanan.

"Kemungkinan selepas pra-musim dan apabila liga bermula, barulah pemain akan dinilai sama ada bertindak sebagai satu pasukan," katanya.

Rajagobal mengikat bekas pemain Felcra FC, Shahrom Kalam, R. Surendran serta bekas tonggak Johor Darul Ta’zim (JDT), Mahali Jasuli, untuk digabungkan bersama pemain muda bagi mengukuhkan lagi skuad The Red Ants.

Semalam, PKNS yang berada di kedudukan ketiga Liga Super tahun ini turun menentang PDRM FA dalam perlawanan pra-musim bagi persediaan kedua-dua pasukan tersebut berdepan kempen Liga Malaysia 2019.

Aksi persahabatan itu menyaksikan PKNS membenam skuad The Cops 1-0 menerusi jaringan tunggal Jafri Firdaus Chew dalam babak kedua.

"Kalau dilihat daripada sudut itu, kami masih menerapkan gabungan pemain baru dan lama. Kalau boleh, PKNS mahu berada dalam kelompok enam pasukan terbaik bagi kempen akan datang," tambahnya.