Rajagobal ketuai senarai calon kemudi PKNS

Oleh Staff Writer 27 Oktober 2017 1392
Rajagobal ketuai senarai calon kemudi PKNS
Pemangku ketua jurulatih PKNS FC, Adam Abdullah, mengesahkan jawatan pengendali kelab itu bagi saingan musim depan akan diumumkan pihak pengurusan selepas aksi terakhir Liga Super berdepan Felda United, esok.

“Keputusan mengenai jawatan ketua jurulatih akan dibuat selepas tamat aksi Liga Super, esok. Kemudian exco PKNS FC akan membuatkan keputusan untuk memilih. 

“Pihak pengurusan memiliki beberapa calon tetapi Datuk K. Rajagobal mengetuai senarai itu. Bagaimanapun, apa sahaja boleh berlaku,” kata Adam.

Pengurusan PKNS kini dalam proses akhir untuk menilai beberapa calon berpengalaman dan sesuai untuk mengendalikan pasukan.

Adam juga tidak menafikan bahawa bekas pengendali skuad kebangsaan, Rajagobal, sebagai calon utama dalam kalangan senarai jurulatih yang disenarai pendek oleh pihak pengurusan kelab.

Sementara itu, kapten PKNS, Safee Sali, bertekad untuk memburu keputusan positif berdepan Felda.

Safee mengakui sesetengah pemain pasti akan menyerlahkan aksi terbaik bagi meyakinkan pengurusan dalam usaha untuk kekal dalam pasukan bagi musim depan.

“Perlawanan ini agak penting buat pasukan bagi melihat pemain-pemain untuk slot pada musim depan, jadi saya pasti seluruh skuad PKNS akan berusaha keras untuk merebut tempat pada musim depan,” ujar Safee.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen