Rajagobal enggan ulas spekulasi Safiq bersama PKNS

Oleh Penulis Jemputan 11 Oktober 2018 9953
Rajagobal enggan ulas spekulasi Safiq bersama PKNS
Jurulatih PKNS FC, Datuk K. Rajagobal, memilih untuk berselindung tentang barisan yang akan memperkemaskan skuadnya musim depan walaupun ada ura-ura bekas kapten Johor Darul Ta'zim (JDT), Safiq Rahim, bakal memilih pasukan di sekitar Lembah Klang.

Pelbagai versi kedengaran, terutama melibatkan Safiq yang dikatakan bakal memilih pasukan lain yang berpangkalan di sekitar Lembah Klang untuk saingan musim depan.

Jika melihat kepada bekas rakan sepasukan terdahulu di JDT seperti Mahali Jasuli dan Safee Sali, tidak mustahil Safiq juga bakal mengikut jejak sama.

Rajagobal tidak segera mengiyakan situasi itu atas alasan rundingan PKNS untuk mendapatkan sebarang pemain masih berlangsung ketika ini.

"Apa yang penting adalah kami mendapatkan pemain yang kami perlukan. Untuk itu, saya tidak boleh membuat sebarang spekulasi kerana segalanya masih dalam rundingan," katanya.

Bekas pengendali kebangsaan itu baru sahaja mengesahkan kedudukannya bersama PKNS dilanjutkan bagi tempoh setahun menerusi kontrak barunya yang bakal berakhir pada November 2019.

"Mereka memberikan kepercayaan kepada saya untuk membimbing PKNS bagi musim akan datang.

"Sebagai jurulatih, saya perlu memikul tugas dan tanggungjawab untuk melakukan yang terbaik pada musim depan," tambah Rajagobal.
 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen