Pertahanan kiri berpengalaman, Mohd Raimi Md Noor, menjelaskan walaupun hatinya ingin bersama Selangor, dia tidak memiliki pilihan selain meninggalkan The Red Giants selepas gagal mencapai persetujuan mengenai kontrak pada musim depan.

Raimi, yang telah bersama Selangor sejak lima musim lalu selain pernah dipinjamkan sementara ke Felda United pada awal musim 2014, tidak menafikan dia sukar mengambil keputusan sedemikian.

Walaupun masih mahu kekal dan berharap mampu bersara di Selangor satu hari nanti, Raimi mengakui dia terpaksa membuat pilihan mencari haluan baru pada 2018.

"Sejujurnya, Selangor telah menawarkan kontrak lanjutan pada tahun 2018 tetapi kami tidak dapat mencapai persetujuan dan saya akan memilih untuk menyertai kelab lain," katanya.

Mengenai tawaran pasukan lain, Raimi yang bakal menginjak usia 32 tahun pada tahun depan, mengakui mendapat dua tawaran daripada kelab Liga Perdana.

Enggan mendedahkan pasukan tersebut, dia masih menilai tawaran terbaik untuk mengembangkan kariernya dan hanya akan membuat keputusan beberapa hari lagi.

"Setakat ini, terdapat beberapa tawaran daripada kelab yang bersaing dalam saingan Liga Malaysia, saya berharap jawapan akan diraih pada minggu depan," ujarnya.