Ibarat sinetron Indonesia yang memakan ratusan episod, cerita Rahmad Darmawan dan T-Team yang ‘bersiaran’ sejak Disember 2015 tamat secara rasmi, hari ini.

Ini ekoran pengesahan peletakan jawatan pengendali berusia 51 tahun itu, sekaligus tidak akan membimbing Terengganu FC (TFC) II dalam saingan Liga Perdana 2018.

Menurut Rahmad, dia belum bersedia untuk melatih pasukan berstatus 'feeder' itu kerana lebih sukakan cabaran di peringkat tertinggi Liga Super serta bersaing dengan pasukan-pasukan terbaik.

Ujarnya lagi, tiga pembantunya, Satia Bagdja, Rasiman Siregar dan jurulatih penjaga gol, Kurnia Sandy, turut sama membuat keputusan meletak jawatan dan meneruskan tugas di Indonesia.

“PBSNT ada menawarkan peluang membimbing TFC II, namun kami belum bersedia untuk beraksi dalam Liga Perdana. Selepas berfikir panjang, lebih baik kami meletak jawatan secara profesional.

“Saya akan berbincang dengan tiga pasukan di Indonesia sebelum menentukan hala tuju seterusnya. Namun, berat hati ini meninggalkan T-Team selepas dua tahun di sini,” tambahnya.

Untuk rekod, Rahmad merupakan antara jurulatih paling lama bertahan dalam Liga Malaysia sejak mengambil alih T-Team tatkala pasukan lain bertukar-tukar jurulatih.

Ini termasuk Terengganu yang merehatkan Ahmad Yusoff dan memecat Mike Mulvey pada awal musim 2016 sebelum Mustaffa Kamal Abd Wahab memegang sementara jawatan ketua jurulatih.

Buat T-Team, meskipun tiada trofi dijulang, sentuhan magis Rahmad tetap diingati, khususnya musim 2016 yang dianggap musim terbaik The Titans selepas mara ke separuh akhir Piala Malaysia.

Musim 2017 agak mengecewakan, namun Rahmad Darmawan tetap boleh berbangga dengan pencapaiannya bersama T-Team.

“Secara jujurnya, saya sedih meninggalkan Kuala Terengganu,” katanya lagi.