Kehilangan sebahagian besar tonggak utama tidak menghalang ketua jurulatih T-Team, Rahmad Darmawan, untuk terus merencana resiepi terbaik meneruskan pencapaian cemerlang pasukan itu.

“Kami tidak dapat mengekalkan ramai pemain utama yang bersama-sama mengharungi musim 2016, jadi pengganti mereka perlu dicari secepat mungkin.

“Seramai tiga pemain import, iaitu bekas penyerang T-Team, Farhod Tadjiyev, dan Pavel Smolyachenko dari Uzbekistan serta pemain dari Cameroon, Dorje Kouemaha, akan diuji untuk kuota pemain luar.

“Selain itu, enam pemain dari skuad Piala Presiden yang muncul naib juara Oktober lalu, serta dua dari Piala Presiden Terengganu juga diserap ke pasukan senior.

“Cabarannya tetap sama jika saya membawa mana-mana pasukan sekalipun, apa yang berbeza adalah sasaran sesebuah pasukan.

“Pihak pengurusan tidak boleh mengharapkan saya memberi kejuaraan kepada mereka dengan skuad muda ini kerana sasaran itu tidak sesuai.

“Namun, itu bukan satu masalah kerana saya akan bekerjasama dengan barisan kejurulatihan untuk terus menggilap bakat mereka dan seterusnya membawa pasukan ini mencapai keputusan lebih baik,” ujarnya.

Meskipun tersingkir dalam pusingan awal Piala FA, The Titans mempamerkan kejutan dengan muncul empat pasukan terbaik dalam Piala Malaysia, serta menamatkan saingan 2016 di tangga ketujuh Liga Super.

“Kejayaan bukan hanya diukur melalui berapa kali kami menjulang trofi, sebaliknya pelbagai cara boleh menjadi penanda aras kejayaan sesebuah pasukan.

“Adalah menjadi kepuasan, kebanggaan dan kejayaan buat kami juga apabila kelab-kelab yang lebih besar mahu mendapatkan pemain-pemain T-Team.

“Saya tiada masalah dengan perkara itu memandangkan mereka masih muda, jadi saya berharap skuad Piala Presiden ini terus menjadi penyumbang kepada pasukan senior,” tambah Rahmad lagi.