Radhi: KFA fokus selesaikan tunggakan gaji Kedah

Oleh Staff Writer 14 Julai 2020 234
Radhi: KFA fokus selesaikan tunggakan gaji Kedah
Legenda bola sepak Kedah, Radhi Mat Din, mengakui keperitan yang dilalui skuad Lang Merah itu musim ini susulan masalah tunggakan gaji sejak Februari lalu gara-gara krisis politik dalaman dan pandemik COVID-19.

Justeru, dia yang baru dipilih sebagai Naib Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) dalam kongres luar biasa (EGM) Ahad lalu, mahu kemelut itu diberikan keutamaan dan segera diselesaikan oleh kepimpinan baru persatuan itu memandangkan saingan Liga Super akan berlangsung tidak lama lagi.

"Gaji adalah hak pemain, tiada sesiapa boleh menafikan kepentingan itu. 

"Saya tidak pernah melalui situasi seperti ini kerana dahulu, pemain dijaga dengan baik. 

"Hari ini, saya tidak tahu pentadbiran itu macam mana dan saya harap perkara itu dapat diselesaikan dalam masa terdekat." ujarnya.

Begitupun, tiada aduan rasmi dikemukakan kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan difahamkan pemain Kedah masih bersabar dan mengharapkan kepimpinan baru KFA dapat menyelesaikan masalah itu demi kebaikan bersama.

Hal itu disuarakan sendiri pengurus Kedah, Al Naliq Hasmi Abu Hassan, yang berharap pembayaran gaji dapat disegerakan.

"Bagi pihak pasukan, saya berharap pengurusan baru KFA ini dapat memastikan perjalanan pasukan ini sentiasa dalam keadaan baik seperti sebelum ini, malah ditambah baik bagi masa akan datang," katanya.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen