P PINANG 1 TERENGGANU 0

Pulau Pinang terpaksa menunggu sehingga minit-minit akhir perlawanan untuk mengesahkan tempat dalam saingan Liga Super musim depan apabila menumbangkan Terengganu dengan kemenangan tipis 1-0 dalam aksi mendebarkan di Stadium Bandaraya, malam ini.


Hanya kemenangan berupaya mencerahkan peluang salah satu daripada pasukan terbabit untuk kekal di saingan tertinggi Liga Malaysia itu susulan prestasi hambar sepanjang musim ini.

Senario itu memaksa kedua-dua pasukan mempamerkan corak permainan terbuka dengan penjaga gawang Sang Penyu, Muhd Sharbinee Alawee, dipaksa bekerja keras sepanjang permainan.

Kombinasi Mathias Cordoba dan Faiz Subri terus buntu dengan Sharbinee menyelamatkan pasukannya daripada dibolosi pada minit ke-23.

Terengganu juga mencipta peluang tetapi mensia-siakan usaha yang dijana Issey Nakajima dan Vincent Bikana pada minit ke-31.

Babak kedua menyaksikan tempo sama dikekalkan, malah pada minit ke-54, tuan rumah sekali lagi hampir memecah kebuntuan sebelum digagalkan benteng Terengganu.

Peluang keemasan Pulau Pinang hadir 10 minit kemudian, namun Faizat Ghazli tidak berupaya menewaskan Sharbinee buat sekian kalinya.

Aksi mantap Sharbinee gagal menjadi pembakar semangat buat jentera serangannya, terutama apabila Issey gagal menyempurnakan umpanan Norshahrul Idlan Talaha (m-65).

Akhirnya, gol yang dinanti-nantikan Pulau Pinang tiba pada lewat permainan apabila Faizat mudah menyempurnakan peluang yang terhidang hasil lorongan Jafri Firdaus Chew untuk menjamin tempat mereka di Liga Super, musim depan.

Keputusan 1-0 itu cukup untuk menyingkirkan Terengganu ke Liga Perdana setelah mengisi kedudukan di dasar Liga Super selepas 22 perlawanan.

Semifinalis Piala Malaysia musim ini, PDRM FA, juga terpaksa melupakan aksi Liga Super musim 2017, selepas tewas 2-1 dalam satu lagi pertembungan zon penyingkiran kepada Sarawak.

Keputusan lain:

Kelantan 2 Perak 2
T-Team 1 Pahang 1
Selangor 1 JDT 2
Sarawak 2 PDRM 1