Naib Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang juga pengerusi jawatankuasa perubatan, Datuk Abdul Ghani Hassan, menjelaskan proses saringan doping membabitkan pemain bola sepak semakin diperketatkan sejak tahun lalu.

Ia termasuk kerjasama dengan Agensi Anti-Doping Malaysia (ADAMAS) selain penubuhan 10 pasukan, iaitu masing-masing lima dalam Liga Super dan lima dalam Liga Perdana bagi melakukan ujian doping di venue berbeza.

"Seperti AFC dan FIFA, kami akan mengadakan ujian secara rambang, di mana setiap pasukan akan memberikan senarai nama dan kami akan memilih nama yang akan dijalankan ujian.

"Prosedur tetap sama, kami akan memberikan kepada ADAMAS serta Agensi Anti-Doping Dunia (WADA) dan sampel akan dihantar ke India," katanya.

Mengenai isu membabitkan penjaga gol muda negara, Ahmad Syihan Hazmi, pihaknya melihat ia sebagai satu amaran kepada pemain lain dan tidak menolak kemungkinan pemantauan lebih ketat akan dibuat sepanjang saingan Liga Malaysia.

"Kami mengingatkan setiap pemain dalam Liga Malaysia agar tidak mengambil bahan terlarang," tegasnya.