Presiden Persatuan Bolasepak Perak (PAFA), Hasnul Zulkarnain Abd Munaim, menegaskan tidak akan tunduk kepada tekanan mana-mana pihak supaya berundur.

Hasnul Zulkarnain berkata sedemikian kepada pemberita dalam sidang akhbar di Parit Buntar, petang tadi.

"Saya masih mendapat sokongan penuh daripada Exco PAFA dan mempunyai perancangan menyeluruh untuk meneruskan kesinambungan kejayaan Perak.

"Saya akui kesilapan yang dilakukan dan kesilapan seperti ini ia mungkin berlaku kepada sesiapa sahaja," katanya menjawab pertanyaan tentang desakan yang semakin memuncak meminta beliau meletak jawatan.

Beliau yang juga pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia, Pertubuhan Bukan Kerajaaan (NGO) dan Pembangunan Koperasi negeri, berkata sudah memohon kemaafan dan berharap ia diterima demi kemajuan sukan bola sepak Perak.

"Saya sudah berhubung dengan dua tiga kelab penyokong dan mereka telah menyatakan sokongan kepada saya.

"Jadi, saya tidak mahu memanjangkan isu ini.

"Saya berharap kumpulan yang menentang ini bersangka baik dan tidak bertindak seperti ada motif untuk menjatuhkan kerjaya politik saya," katanya.