Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) belum membuat sebarang pertimbangan berhubung hasrat pemotongan gaji pemain oleh beberapa pasukan susulan penangguhan Liga Malaysia (Liga-M) 2020 akibat penularan wabak koronavirus baru (Covid-19).

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam, mengingatkan semua pihak akan duduk semeja sebelum membuat tindakan lanjutan berikutan musim liga tempatan tidak sama dengan di luar negara.

"Setiap pasukan jangan terlalu tergesa-gesa dalam membuat keputusan seperti yang berlaku di Eropah.

"Di sana, liga hampir berakhir, perlawanan sudah tinggal sedikit tetapi saingan Liga-M masih panjang sampai ke hujung tahun.

"Kami dalam perbincangan mengenai perkara ini agar ia dapat diteliti bersama oleh semua pihak, " katanya kepada wartawan lokasi, Zulhelmi Zainal Azam, melalui FaceTime.

Liga Bolasepak Malaysia (MFL) merancang tiga tarikh untuk menyambung semula saingan selewat-lewatnya Jun depan, bergantung kepada penularan pandemik itu.

"Kami sedang membincangkan formula tertentu mengikut perkara ini berdasarkan akta, peraturan, kontrak dan undang-undang di Malaysia.

"Masih terlalu awal untuk saya menjawab persoalan ini hinggalah tiga badan ini (pemain, pasukan dan MFL) mempunyai persetujuan dan pandangan bersama, barulah kami akan bersama-sama membuat kenyataan," tambahnya.

Pengurusan tertinggi Kelantan antara pasukan yang tidak menolak untuk mengambil pendekatan itu tetapi bergantung kepada langkah yang akan diambil pengelola bola sepak Malaysia berkenaan.

"Pemain sedia berunding, saya tahu (kenal) anak buah saya.

"Isu ini perlu dilihat kepada apakah perancangan utama FAM dan MFL terlebih dahulu. Adakah liga diberhentikan atau ditangguhkan.

"Kami tidak boleh ulas lagi perkara ini, kami perlu memerhati terlebih dahulu," kata Pengarah Urusan Team Red Warriors Sdn Bhd, Datuk Wan Rakemi Wan Zahari pula.

Ternyata, ia memerlukan perbincangan lanjut dan persetujuan kedua-dua pihak kerana penangguhan akibat penularan Covid-19 berlaku di luar jangkaan.

Apa pun, setakat ini tiada sebarang aduan dibuat oleh mana-mana pemain berhubung perkara berkenaan.

"Kami ada dengar mendengar berita di media sosial yang mengatakan Kelantan dan beberapa pasukan lain berhasrat untuk memotong gaji pemain.

"Kami belum pasti lagi tetapi PFAM setakat ini belum menerima sebarang aduan daripada pemain mengenai pemotongan gaji ini," kata Timbalan Presiden Persatuan Pemain-Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) , Shahrom Kalam.