Isu pemotongan gaji Liga Malaysia (Liga-M) makin hangat apabila empat pasukan dipercayai berdepan tunggakan gaji pemain tatkala saingan itu ditangguhkan sejak bulan lalu akibat penularan novel koranavirus (Covid-19).

Pemilik Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim, dalam satu pendedahan di laman sosial kelab itu mengaitkan Kelantan, Pulau Pinang, Kedah dan Melaka dengan kemelut berkenaan.

Tunku Ismail, yang turut melaungkan antara syarat yang dikemukakan Persatuan Pemain-Pemain Profesional Malaysia (PFAM), menggesa pasukan-pasukan itu agar melangsaikan tunggakan gaji terlebih dahulu sebelum memikirkan soal pemotongan gaji pemain.

Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) tidak menafikan kedudukan itu sambil menjelaskan mahu mendapatkan situasi menang-menang di antara kedua-dua pihak.

"Kami memang menghadapi masalah kewangan dalam keadaan Covid-19 ini.

"Isunya ketika ini, Liga Bolasepak Malaysia (MFL) tidak memberi sebarang kata putus sama ada liga akan bersambung.

"Semuanya masih tergantung. Tiada perlawanan tetapi kami masih kena tanggung (gaji pemain)," kata
Setiausaha Kehormat KFA, Asmirul Anuar Aris, ketika dihubungi wartawan Nadi Arena, Zulhelmi Zainal Azam.



Di sebalik kemelut itu, pertahanan Lang Merah, Azmeer Yusof, pula mengambil mengambil pendekatan menjual ikan segar sementara hasilnya akan disumbangkan.

Tambah Asmirul Anuar: "Ini yang kami mahu terapkan kepada pemain. Sebagai contoh, jika kita tidak bekerja tetapi (hakikatnya khidmat) kita dibayar berdasarkan pekerjaan.

"Semua majikan di satu dunia ini menghadapi masalah yang sama. Jadi saya menghargai apa yang dibuat oleh Azmeer biar menjadi contoh kepada pemain-pemain."

Dalam masa sama, penyerang juara bertahan Piala FA itu, Zaquan Adha Abdul Radzak, berharap pasukan memberi komitmen terhadap gaji mereka yang masih tertunggak sebelum berhajat mengadakan rundingan berikutnya.

"Kalau jalan terakhir adalah memotong gaji pemain, saya rasa tiada masalah.

"Tetapi kena berdasarkan apa yang sepatutnya pihak pengurusan (lakukan), iaitu bayar baki gaji sebelum ini. Ia lebih adil buat pemain.

"Ada pasukan yang belum membayar gaji sejak Januari lalu lagi. Apabila Covid-19 melanda, gaji pemain dipotong lagi," katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Bolasepak Pulau Pinang (FAP), Dr Amar Pritpal Abdullah, mengakui masih melihat situasi semasa sebelum memutuskan langkah seterusnya.

"Kami telah menjelaskan semua gaji pemain kecuali bulan lalu.

"Kami mempunyai sumber untuk membayarnya tetapi kami mahu memantau dahulu perkembangan Covid-19," katanya pula.