Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Melaka (MUSA), Datuk Wira Yusoff Mahadi, tidak bersetuju dengan syarat pertama yang dikenakan oleh Persatuan Pemain-Pemain Profesional Malaysia (PFAM) berhubung isu penggajian.

Krisis novel koronavirus (Covid-19) menyebabkan Liga Malaysia (Liga-M) tertangguh sejak pertengahan bulan lalu dan belum ada kepastian apakah akan bersambung dengan mendorong Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) pada minggu ini menyarankan semua pasukan agar berunding dengan pemain berhubung soal gaji dan kontrak.

Menerusi satu kenyataan, PFAM menjelaskan dua syarat utama itu harus dipenuhi bagi mengelak sebarang prejudis dan memastikan hak setiap pemain dilindungi sebelum pintu rundingan dibuka.

Menurut PFAM, "Syarat pertama adalah pasukan yang mempunyai masalah tunggakan gaji sebelum pandemik ini bermula wajib menyelesaikan tunggakan gaji terlebih dahulu. Ini jelas dan tiada perdebatan mengenainya.

“Syarat kedua adalah rundingan dan persetujuan perlu dibuat secara individu dengan pemain (kes demi kes) dan bukan dilakukan secara pukul rata.

"Ini memandangkan setiap pemain mempunyai nilai gaji yang berbeza, keperluan yang berbeza dan selayaknya bersetuju atas nilai pemotongan yang berbeza."




Kenyataan itu kemudian mendapat reaksi daripada Yusoff.

"Yang lebih penting adalah pemain dan majikan terlebih dahulu.

"Selepas itu, kalau tidak pemain berpuas hati, (barulah) mungkin melibatkan PFAM.

"Pasukan-pasukan boleh berunding dengan pemain walaupun ada gaji yang masih belum diselesaikan (tertunggak).

"Maksudnya, kalau Melaka belum gaji dua bulan lalu, harus ada komitmen daripada pasukan itu terlebih dahulu bahawa ia (gaji dalam tempoh itu) tidak akan dipotong, tidak diusik.

"Kalau nak tunggu gaji mereka dibayar, tempoh itu mestilah selepas 22 April depan," katanya kepada wartawan Nadi Arena, Norsyarafina Nasrom, hari ini.

Dalam pada itu, Yusoff turut menegaskan hal ini mahu diselesaikan terlebih dahulu dengan melibatkan pihak pemain dan persatuan tanpa kehadiran PFAM.

"Kami mungkin akan memotong gaji pemain yang berharga RM20,000 dan RM30,000 ke atas berdasarkan peratusan yang berbeza atau mungkin juga pemain bergaji rendah tidak perlukan pemotongan langsung.

"Kami bersetuju dengan saranan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bahawa kami (majikan) perlu berjumpa dengan setiap pemain agar semua pihak dapat memahami dan berpuas hati dengan pemotongan (yang dikenakan)," katanya lagi.

Dalam masa yang sama, Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA), Nokman Mustafa, meminta PFAM agar tidak terlalu lantang mengkritik usaha yang diambil persatuan.

KLFA sendiri sudah ada ketetapan untuk membuat pemotongan gaji, namun ia bergantung kepada kadar bayaran gaji pemain sebelum pemotongan di antara 10 ke 20 peratus diketengahkan.

"Kalau diikutkan, FIFA sudah minta pemain bincangkan (pemotongan gaji), apa salahnya pemain bantu.

"(Jumlahnya) bukan dipotong semua pun tetapi sekurang-kurangnya mereka dapat tolong pihak persatuan," katanya.

Ketika banyak persatuan yang melihat pemotongan gaji jalan terbaik, Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) pula menegaskan, isu penggajian tidak dilihat sebagai keperluan ketika ini.

"Perbincangan dua hala akan dibuat.

"Buat masa ini, FAS telah memberi jaminan bahawa dana yang ada mencukupi untuk menampung perbelanjaan sepanjang musim ini ," kata Pengurus Selangor, Mahfizul Rusydin Abdul Rashid.