Teka-teki masa depan ketua jurulatih Kelantan, Velizar Emilov Popov, bersama The Red Warriors musim depan terjawab apabila Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa, mengumumkan jurulatih kelahiran Bulgaria itu menolak lanjutan kontrak yang ditawarkan kepadanya.

Annuar berkata Popov memberikan alasan peribadi dan keluarga sebagai faktor utama penolakan kontrak tersebut sambil mendedahkan pihaknya menawarkan kenaikan gaji 60 peratus berdasarkan kemampuan kewangan KAFA yang terbatas.

“Pagi ini, KAFA telah menerima surat rasmi daripada Popov yang menolak tawaran penyambungan kontrak yang ditawarkan oleh KAFA. Alasan yang diberikan ialah “alasan peribadi dan keluarga”.

“Untuk makluman, KAFA telah membuat tawaran penyambungan kontrak setahun lagi dengan kenaikan gaji 60 peratus berdasarkan kemampuan KAFA yang terbatas,” katanya dalam entri terbaharu dalam laman sosial Facebooknya.

Annuar juga mengucapkan terima kasih kepada Popov di atas khidmat yang cemerlang dan sanggup atas dasar persahabatan menerima gaji yang tidak lebih daripada gaji jurulatih tempatan sebelumnya.

“Beliau dijemput berkhidmat atas dasar persahabatan sekian lama dengan saya dengan gaji yang tidak lebih daripada gaji jurulatih tempatan sebelumnya.

“Saya amat memahami pelbagai kesukaran dan cabaran yang dilaluinya di Kelantan. Saya ucapkan selamat maju jaya. Beliau seorang profesional yang baik, mungkin kami belum mampu memilikinya,” katanya.

Annuar juga menjelaskan KAFA masih belum mengenal pasti ketua jurulatih baharu yang akan mengemudi TRW musim depan.