Pengendali PKNS FC, E. Elavarasan, enggan terburu-buru dalam mencari pengganti bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan pemain import, Gabriel Guerra.

Selepas dua tahun bersama PKNS FC, Guerra mengambil keputusan untuk menyertai Johor Darul Ta'zim (JDT) selepas mendapat tawaran lebih baik dari kelab selatan tanah air itu.

Mengakui PKNS berdepan ranjau untuk mengekalkan Guerra, Elavarasan sudah merangka perancangan bagi mencari pengganti yang setaraf dengan pemain kelahiran Argentina itu.

Ketika ini, skuad Semut Merah sedang menguji seorang pemain import dari Argentina untuk meneliti kemampuannya.

Namun, Eavarasan menjelaskan masih terlalu awal untuk PKNS mengikat pemain berkenaan.

"Kami kekurangan seorang pemain tengah yang baik. Ketika ini, kami telah membawa seoarang pemain dari Newell's Old Boys.

"Sama sepeti Guerra. dia juga datang dari skuad simpanan. Saya berharap dia akan mendapat tempat bersama kami, cumanya saya berharap dia mampu menyesuaikan diri," jelas Elavarasan.

Ketika ini, PKNS sudah mengesahkan tiga importnya kekal, iaitu Juan Manuel Cobelli, Matias Hadwa serta kepulangan semula Patrick Ronaldinho yang dipinjamkan ke Selangor bagi musim 2016.

Dalam pada itu, Elavarasan menaruh keyakinan tinggi terhadap kemampuan pemain kebangsaan, Safee Sali, dalam memperkasakan bahagian serangan pasukan itu.

Safee dijangka menandatangani kontrak rasmi bersama PKNS dalam tempoh terdekat selepas khidmatnya tidak disambung JDT.

"Harap dia boleh membantu kami menjaringkan gol. Saya yakin dengan kedatangan Safee, gol diharapkan akan tiba," tambah Elavarasan.