PKNS tetap buru kemenangan

Oleh Penulis Jemputan 27 September 2017 306
PKNS tetap buru kemenangan
PKNS bakal menjadi penentu nasib Kelantan dalam saingan Liga Super 2018 menjelang perlawanan di Stadium Sultan Mohammad IV, malam ini.

Selepas menewaskan Selangor 2-1 di Stadium Selayang minggu lalu, PKNS berjaya mengesahkan tempat dalam saingan Liga Super tahun depan, namun ceritanya berbeza buat Kelantan apabila tersungkur di tangan Johor Darul Ta’zim (JDT) di tempat lawan, sekaligus terpaksa bergelut dalam baki dua perlawanan.

Skuad kendalian Zahasmi Ismail itu kini dibezakan dengan satu mata dengan pasukan tangga ke-11, Sarawak, dan kemenangan menjadi kewajiban buat skuad The Red Warriors.

Namun, jurulatih PKNS, Adam Abdullah, tetap menagih tiga mata daripada anak buahnya walaupun tempat sudah terjamin dalam saingan 2018. 

"Pertama sekali, saya bersyukur PKNS berjaya mengekalkan tempat dalam saingan Liga Super 2018. Saya sedar bermain di Kelantan bukan satu tugas yang mudah. Mereka adalah pasukan yang hebat, cuma mereka tidak berjaya menggunakan kesempatan yang ada sebelum ini.

"Masih ada 90 minit buat Kelantan bangkit. Mereka kini mendapat suntikan moral dengan struktur pengurusan yang baru, jadi mereka berpeluang untuk meraih keputusan yang positif.

"Bagaimanapun, harus diingat bahawa PKNS juga tidak akan memberikan laluan mudah kerana kami juga mahukan mengekalkan momentum kemenangan selepas menumbangkan Selangor sebelum ini," kata Adam.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen