PKNS FC sekali lagi menghantar rayuan kepada Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) agar mempertimbangkan untuk menyokong penyertaan mereka dalam saingan Liga Super tahun depan.

Setiausaha Agung PKNS, Adi Harmizi, mengesahkan surat terbabit telah dihantar pada Khamis lalu kepada Setiausaha FAS, Rosman Ibrahim.

Dia berharap FAS dapat memberikan jawapan sebelum tarikh akhir yang diberikan oleh Usahasama Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP), 7 Disember ini untuk pendaftaran pasukan.

"Kami telah mengemukakan surat makluman berkenaan kelulusan rayuan penangguhan yang kami minta daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan FMLLP.

"Kami juga telah mengemukakan rayuan sekali lagi untuk FAS memberikan sokongan kepada PKNS FC bagi menyertai Liga Malaysia 2017," katanya.

Selain itu, PKNS mengakui Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, yang merupakan Presiden FAS, masih belum memberikan sebarang reaksi kepada kedua-dua pihak.

Bagaimanapun, dia masih menzahirkan keyakinan isu terbabit mampu diselesaikan secara positif dan PKNS boleh beraksi dalam Liga Super pada musim 2017.

"Kami masih optimis perkara tersebut akan diselesaikan sebelum tarikh penangguhan berakhir.

"Kami juga masih menaruh harapan kepada FAS untuk menyokong penyertaan kami dalam Liga Malaysia 2017."

Pada 30 November lalu, FMLLP memberi peluang kepada PKNS FC untuk mendapatkan pelepasan daripada FAS dengan menganjak tarikh pendaftaran selama seminggu.