PKNS optimis keputusan positif dalam mesyuarat dengan FAM, Jumaat ini

Oleh Staff Writer 12 Disember 2016 2
PKNS optimis keputusan positif dalam mesyuarat dengan FAM, Jumaat ini
PKNS FC bersama Persatuan Bola Sepak Melayu Selangor (PBMS) bakal mengadakan pertemuan dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Jumaat ini, berhubung isu penyertaan mereka dalam Liga Super musim depan.

Presiden PKNS FC, Siti Zubaidah Abdul Jabar, optimis kata akhir mengenai status sebenar mereka dalam Liga Malaysia akan dirungkai dalam mesyuarat berkenaan.

Dia menjangkakan tiada lagi sebarang masalah berdasarkan peraturan yang ditetapkan FAM dan yakin PKNS akan dibenarkan untuk beraksi dalam saingan 2017.

Wakil daripada Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) juga dijangka akan turut hadir dalam pertemuan terbabit.

"Saya sangat mengharapkan pada hari Jumaat itu nanti kami akan mendapat keputusan yang positif kerana sehingga hari ini, banyak persiapan yang telah kami laksanakan.

"Kami tetap positif yang kami akan beraksi dalam Liga Super musim 2017," katanya.

Selain itu, Siti Zubaidah berharap tiada lagi sebarang masalah dengan pihak FAS memandangkan mereka telah menemui jalan penyelesaian tersendiri.

Tambahnya, tujuan PKNS FC hanyalah mahu bersaing dalam Liga Malaysia selain turut membantu pembangunan bola sepak tempatan tanpa ada sebarang kepentingan lain.

"Kami tidak mempunyai sebarang masalah dengan pihak FAS. Apa yang kami lakukan adalah untuk mencari satu ruang bagi membolehkan kami bagi menyertai saingan Liga Malaysia 2017.

"Pada pandangan saya, ruang yang kami cari melalui PBMS tidak menyalahi mana-mana artikel dan peraturan persatuan masing-masing."

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen