PKNS dijangka sukar mengekalkan khidmat Gabriel Guerra selepas pemain dari Argentina itu difahamkan telah menerima tawaran lumayan daripada sebuah pasukan di selatan tanah air.

Jurulatihnya, E. Elavarasan, buat masa ini sudah berputus harap untuk melihat Guerra terus bersama pasukan itu bagi menghadapi saingan musim 2017.

Justeru, dia sudah melakukan perancangan mencari pengganti Guerra di samping mengesahkan khidmat tiga lagi pemain import.

Matias Hadwa dan Gonzalo Soto terus dikekalkan Elavarasan sementara Patrick Ronaldinho yang sebelum ini dipinjamkan kepada Selangor, kembali bersama PKNS.

"Patrick, Matias dan Gonzalo akan kembali bersama kami. Kami masih sedang berbincang dengan Gabriel untuk mengisi slot itu,” kata Elavarasan.

Mengenai situasi PKNS yang masih terumbang-ambing kerana belum mengesahkan penyertaan dalam Liga Malaysia, Elavarasan menasihatkan kepada pemain supaya menyerahkan perkara itu kepada pihak pengurusan.

Malah, dia percaya perkara itu dapat diselesaikan dalam masa terdekat dan yakin PKNS mampu beraksi seperti biasa pada tahun depan.

“Sebagai pemain, mereka harus memberikan tumpuan kepada prestasi di atas padang," tambahnya.

Penyertaan PKNS dalam saingan musim depan menimbulkan tanda tanya apabila FAS enggan memberi sokongan kepada kelab itu.

Mengikut Peraturan Pertandingan 4.1.3 (i) Peraturan Pertandingan Liga M 2013-2016, kelab memerlukan sokongan persatuan bola sepak negeri sebagai syarat penyertaan.