PKNS FC dapatkan khidmat Rajagobal

Oleh Penulis Jemputan 22 November 2017 1499
PKNS FC dapatkan khidmat Rajagobal
"Saya tidak perlu buktikan apa-apa!" Itu reaksi Datuk K. Rajagobal selepas diumumkan secara rasmi sebagai jurulatih baru PKNS FC untuk memacu misi dalam kancah Liga Super musim depan.

Rajagobal melalui detik sukar ketika kemunculan semulanya dalam kancah bola sepak tempatan musim lalu susulan prestasi buruk skuad bimbingannya ketika itu, Sarawak, sebelum ikatan mereka terlerai Mei lalu.

Bagaimanapun, khidmat Rajagobal tetap ditagih dalam bola sepak tempatan apabila PKNS mengambil langkah untuk mendapatkan khidmatnya bagi menggantikan pengendali terdahulu, E. Elavarasan, yang direhatkan Julai lalu.

Rajagobal dan PKNS FC memeterai ikatan secara sah dalam satu majlis menandatangani kontrak di Shah Alam, hari ini.

"Saya tidak berasakan perlu membuktikan apa-apa. Jika anda melihat kepada rekod saya yang terdahulu, ini merupakan tempat bermulanya saya mengorak karier dalam bola sepak dan saya mahu menabur semula bakti kepada pasukan ini," katanya.

Kehadiran Rajagobal dalam skuad PKNS memberi nilai sentimental kerana beliau kembali ke tempat bermulanya kariernya sebagai pemain bola sepak.

"Perjalanan saya dan PKNS telah memberikan banyak sumbangan kepada saya daripada segi permainan dan pengalaman," ujarnya.

Dalam perkembangan lain, PKNS FC masih mencari penyelesaian terbaik berhubung isu penamatan kontrak Elavarasan kerana jurulatih itu masih mempunyai baki setahun kontrak bersama The Red Ants.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen