Pengurus pasukan PKNS FC, Mahfizul Rusydin Abdul Rashid, mengakui mereka berdepan tugas sukar dalam misi mengulangi pencapaian mara ke final Piala FA apabila diundi bertemu Melaka United dalam pusingan kedua di Stadium Hang Jebat, 17 Februari depan.

“Kami beranggapan undian tahun ini agak getir. Kami sedar kekuatan yang ada pada Melaka United, namun kami akan berusaha untuk berdepan mereka," katanya.

Bukan bermaksud sudah mengaku kalah, sebaliknya beliau yakin dengan barisan pemain yang ada dan pastinya jurulatih mempunyai strategi yang berbisa untuk menyekat skuad Hang Tuah itu.

Dalam masa yang sama, skuad Semut Merah bimbingan E. Elavarasan turut mengharapkan tuah stadium berpihak kepada mereka kerana Stadium Hang Jebat tidak asing lagi buat PKNS FC dan mungkin gelanggang berkenaan akan membawa tuah untuk mencipta kemenangan.

Pusingan pertama Piala FA akan berlangsung pada 5 Februari dengan 13 pasukan Liga FAM akan berentap, dengan tiga daripadanya termasuk Kadazan Dusun Murut Malaysia Football Club (KDMM FC), Universiti Kebangsaan Malaysia Football Club (UKM FC) dan Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam Urusetia Belia dan Sukan Negeri Kelantan Football Club (MPKB-BRI U-BES FC) sudah layak ke pusingan kedua.

Sementara itu, pusingan kedua akan berlangsung pada 17 Februari dengan kesemua perlawanan secara kalah mati.