Pengurus PKNS FC, Mahfizul Rusydin Abdul Rashid, mengesahkan beberapa jurulatih ternama kini berada dalam radar Semut Merah, dengan bekas jurulatih kebangsaan, Datuk K. Rajagobal, antara yang dikaitkan sebagai pilihan.

Meskipun musim 2017 belum berakhir, PKNS adalah antara pasukan yang sudah mula mengorak langkah awal untuk memperkasakan pasukan musim depan.

Ia menerusi rundingan mendapatkan nakhoda baru berikutan pasukan itu kehilangan Sven Gartung, dua bulan selepas E. Elavarasan direhatkan pada Julai lalu sebelum tugas itu kini dipangku Adam Abdullah.

Dan tatkala saingan liga masih berbaki satu perlawanan, Rajagobal disebut-sebut menjadi calon pilihan daripada empat nama yang disenaraipendekkan membabitkan jurulatih tempatan dan asing itu.

"Untuk membawa cabaran PKNS pada musim hadapan, kami memerlukan seorang jurulatih yang berpengalaman dan mempunyai pengaruh dalam kalangan pemain dan penyokong.

"Kami ingin mengesahkan bahawa kami telah membuat rundingan dengan beberapa individu yang berpotensi dan pengumuman itu akan dibuat oleh pihak pengurusan," katanya.

Sementara itu, Mahfizul menegaskan PKNS masih berminat untuk mengekalkan khidmat Safee Sali, sekaligus menepis spekulasi perpindahan penggempur itu ke Kuala Lumpur musim depan.

"Safee seorang pemain yang sangat profesional dan menyumbangkan tenaga pada musim ini.

"Kami amat menghargai sumbangannya musim ini dan berharap agar dia terus kekal," katanya lagi.