Pengendali PKNP FC, Abu Bakar Fadzim, mengakui pasukannya menempah laluan sukar untuk kekal dalam Liga Super musim depan apabila sekadar terikat 1-1 dengan Felda United di Stadium Majlis Perbandaran Manjung (MPM), malam tadi.

Beliau berkata pemain, terutama jentera serangan, gagal memanfaatkan beberapa peluang untuk menghasilkan jaringan meskipun mendominasi perlawanan.

"Kalau begini memang sukarlah kerana pada kedudukan sekarang, kemenangan amat penting dan saya memang harapkan jentera serangan tak mensia-siakan peluang yang ada," katanya.

Dalam perlawanan itu, gol pasukan Felda United dijaringkan oleh S. Chanturu pada minit ke-52 manakala gol penyamaan PKNP FC pula disumbangkan pemain kebangsaan Palestin, Yashir Pinto, pada minit ke-80.

Mengulas aksi menentang PJ City 21 Julai ini, Abu Bakar berkata PKNP FC perlu mengutip tiga mata penuh bagi mengelak tersingkir daripada Liga Super.

Sementara itu, ketua jurulatih Felda United, Mohd Nidzam Jamil, berkata beliau akan memastikan pasukannya berjuang habis-habisan dalam baki dua perlawanan menentang Pahang selain Kedah pada 17 dan 21 Julai ini.

Katanya, meskipun kedua-dua perlawanan itu dianggap sukar, namun hanya kemenangan mampu mencerahkan peluang pasukannya untuk terus kekal dalam saingan Liga Super musim depan.

"Kami mungkin ada sedikit kelebihan sebab kami ada baki dua perlawanan lagi, namun yang tak bagusnya kami nak jumpa Pahang dengan Kedah.

"Kedua-duanya aksi yang sukar sebab mereka juga perlukan kemenangan untuk memperbaiki kedudukan.

"Apapun, kami kena dapatkan tiga mata sekurang-kurangnya di antara kedua-dua perlawanan itu untuk kami berada dalam kedudukan yang selamat," katanya.