Skuad PKNP FC mengintai sekurang-kurangnya tiga pemain import dari benua Afrika bagi memperkukuhkan pasukan dalam kancah Liga Super 2019.

Ketua jurulatihnya, Abu Bakar Fadzim, mengesahkan langkah itu tetapi enggan memberi sebarang butiran.

"Memang kami sedang mengadakan rundingan dengan beberapa pemain dari benua Afrika tetapi saya tidak boleh berikan sebarang maklumat sehingga semua urusan selesai," katanya.

Abu Bakar juga menjelaskan PKNP mungkin hanya mengambil tiga pemain memandangkan tidak mempunyai bajet besar.

Tahun ini mereka juga kerap hanya menggunakan tiga pemain berikutan pemain yang diambil tidak memenuhi piawaian.

Bagi musim 2018, PKNP menggunakan Ritus Krjauklis, Franklin Clovis Anzité dan Karl Max Dany serta pemain Korea Selatan, Kim Sang Woo.

Bagaimanapun, pemain seperti Dany dan Anzite sering dihantui masalah kecederaan tatkala Abu Bakar mengakui pelaburan terhadap Krjauklis dan Sang Woo berbaloi kerana telah memberi pulangan lumayan.

"Khidmat Krjauklis tidak disambung kerana sudah dua musim manakala Sang Woo mengalami kecederaan di hujung musim.

"Sudah serik ambil pemain yang kerap mengalami kecederaan kerana tidak dapat digunakan sepenuhnya," ujarnya.