PKNP FC dapat khidmat pemain Ghana

Oleh Azizan Hashim 18 Disember 2018 3660
PKNP FC dapat khidmat pemain Ghana
PKNP FC berjaya mendapatkan khidmat awang import pertama bagi memperkukuhkan pasukan itu dalam kancah Liga Malaysia (Liga-M) musim depan dengan ketibaan pemain dari Ghana, malam tadi.

Pemain itu adalah Thomas Abbey, 25, yang merupakan bekas pemain kelab Mesir, Ismaily Sporting Club.

Dia juga merupakan pemain kebangsaan Ghana.

Abbey yang boleh beraksi di pelbagai posisi juga hadir dengan reputasi selaku pemenang anugerah pemain bola sepak lelaki terbaik Ghana tahun ini.

Abbey juga adalah pemain ketiga dari Ghana beraksi dalam Liga-M selepas Abukari Damba dan Baba Iddi pernah menyarung jersi Perak sebelum ini.

Ketika ditemui semasa sesi perkenalan dengan ketua jurulatih, Abu Bakar Fadzim, dan penolongnya, Chan Wing Hoong, di sebuah hotel terkemuka di Meru Raya, Abbey berkata dia tertarik untuk mencuba nasib dalam Liga-M selepas dihubungi oleh kenalan rapatnya.

"Dia memberitahu saya tentang Malaysia dan PKNP FC dan ia menyebabkan saya bersetuju untuk datang ke sini.

"Setelah berada di sini, saya akan mencurah segala kudrat kepada pasukan baru saya," katanya.

Pengendali pasukan, Abu Bakar, berharap pemain itu tidak hanya indah khabar daripada rupa.

"Abbey akan melalui pemeriksaan kesihatan bagi memastikan dirinya tidak mengalami kecederaan.

"Ia proses biasa dalam pemilihan pemain tetapi pada dasarnya dia sudah sah menjadi milik PKNP," ujarnya. 

Jurulatih itu berkata Abbey berpeluang menunjukkan kehebatannya dalam perlawanan persahabatan dengan UiTM FC di Stadium Majlis Perbandaran Manjung (MPM), Ahad ini.  

Tentang Penulis

Azizan Hashim

Komen