JDT 0 PJ CITY FC 1

Hasrat Johor Darul Ta'zim (JDT) selaku juara Liga Super 2019 -- kejuaraan musim keenamnya berturut-turut -- untuk mengekalkan rekod tanpa kalah musnah apabila tewas 0-1 kepada Petaling Jaya City FC di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, sebentar tadi.


Sebelum ini, skuad Harimau Selatan itu melewati 20 perlawanan tanpa tewas dengan 16 daripadanya adalah kemenangan.

Namun, rekod itu dimusnahkan jaringan tunggal penyerang import PJ City, Washington Brandao, selepas sejam perlawanan.

Walaupun sudah bergelar juara, JDT tetap menurunkan skuad utama dengan Diogo Santo, Safawi Rasid dan Leandro Velazquez membarisi bahagian serangan.

Bagaimanapun, mereka seakan-akan buntu untuk membolosi pintu gol PJ City yang dikawal Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi sepanjang babak pertama.

Sepakan percuma Diogo sekadar melambung tinggi manakala sepakan dari luar kotak penalti Velazquez turut berkesudahan sama.

PJ City turut memberikan ancaman ke arah gawang penjaga gol JDT, Farizal Marlias, antaranya menerusi tandukan Pedro Henrique Oliveira yang sempat dikuis penjaga gol kebangsaan itu ke tiang sebelah kiri.

Namun, skuad kendalian K. Devan itu jelas pasukan yang lebih baik dalam babak kedua apabila P. Rajes melorongkan bola ke arah Brandao, yang kemudian meluru masuk ke dalam kotak penalti sebelum menjaringkan gol dari sudut sukar.

Tersentak, JDT melancarkan asakan bertali arus ke kubu pelawat, namun tandukan Diogo melepasi palang gol.

Lebih manis buat PJ City apabila kemenangan itu turut meleburkan rekod kebal di Larkin buat JDT, yang kali terakhir tewas perlawanan liga di gelanggang keramat mereka itu kepada Lions XII pada 2012.

KEPUTUSAN LAIN:
MELAKA 1 PKNS FC 1