Petaling Jaya (PJ) City harus menyalahkan diri sendiri selepas gagal membawa pulang tiga mata ketika menentang Sabah di laman sendiri, malam tadi.

Mereka sebenarnya bermula cemerlang dengan gol pertama hasil tandukan Elizeu Araujo pada minit ke-51.

Namun, tiga minit menuju masa pemberhentian, skuad Tambadau menyamakan kedudukan menerusi penyerang sensasinya, Rodoljub Paunovic.

Begitupun, tuan rumah dihadiahkan sepakan penalti dalam masa kecederaan sebelum dihampakan dengan kegagalan Washington Brandao mengatasi penjaga gol Sabah, Rozaimie Rohim, untuk memaksa kedua-dua pasukan memungut dengan satu mata.

"Brandao merupakan penyepak terbaik kami.

"Kebiasaannya dia mampu menyudahkan sepakan penalti. Ia bukan isu terbesar dalam bola sepak malah pemain ternama juga pernah gagal melakukannya.

"Kami juga melepaskan beberapa peluang menarik di depan gol.

"Saya boleh katakan tuah tidak mengiringi kami pada hari ini," kata ketua jurulatih PJ City, K. Devan.