Kapten Kelantan, Mohd Badri Radzi, mengakui terkejut dengan keputusan Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa, melepaskan jawatannya, namun dalam masa yang sama berharap beliau menarik balik keputusan itu demi kebaikan skuad The Red Warriors (TRW).

“Pemain masih terkejut dengan keputusan Tan Sri (Annuar) melepaskan jawatan presiden yang disandangnya. Kami tahu beliau merupakan bapa pembangunan bola sepak Kelantan dan bertanggungjawab menjadikan TRW sebagai kuasa bola sepak negara pada masa kini.

“Secara peribadi, saya merayu Tan Sri dapat mempertimbangkan semula keputusan tersebut kerana khidmatnya masih diperlukan dan banyak urusan kebajikan pemain yang masih belum selesai,” katanya.

Piya, yang juga bekas perancang tengah kebangsaan, menyifatkan pemain TRW sudah memberikan yang terbaik, termasuk memenuhi Indeks Prestasi Utama (KPI) yang ditetapkan dengan muncul sebagai pasukan keempat terbaik Liga Super musim ini.

“Mungkin Tan Sri kecewa dengan prestasi pasukan yang gagal memenangi sebarang kejuaraan utama musim ini, termasuk tersingkir kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam suku akhir Piala Malaysia.

“Namun, pemain sudah memberikan yang terbaik, termasuk KPI yang ditetapkan presiden, iaitu perlu berada di tangga empat teratas Liga Super.

"Faktor utama rasanya kehilangan penaja dan kepenatan mencari sumber kewangan menyebabkan presiden membuat keputusan drastik tanpa mengadakan sebarang perbincangan dengan exco KAFA,” katanya.

Piya juga mengharapkan ada keputusan positif daripada mesyuarat tergempar yang bakal diadakan oleh KAFA di Shah Alam bagi membincangkan isu peletakan jawatan presiden, petang ini.

“Moga ada keputusan positif ‘menang-menang’ dalam mesyuarat tergempar itu dan kami (pemain) menanti dengan penuh minat dan berdoa supaya presiden kembali memimpin KAFA ,” katanya.

Ditanya mengenai perbincangan kontrak baharu yang bakal ditandatanganinya bersama KAFA, Piya memohon semua peminat mendoakan yang terbaik sambil menyifatkan dia masih ada masa untuk memikirkannya.

“Insya-Allah, minggu depan (16 November) saya akan berangkat ke Tanah Suci untuk mengerjakan umrah dan berharap lebih tenang untuk memikirkan kontrak baharu yang ditawarkan. Doakan saya buat pilihan yang terbaik."