Kapten Kelantan, Mohd Badri Radzi, mengakui sudah menerima kontrak baharu daripada majikannya, Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), tetapi memohon sedikit masa sebelum membuat keputusan pasukan mana yang akan diwakilinya musim depan.

“KAFA sudah tawarkan kontrak baru kepada saya dan saya bersedia untuk bertemu dengan mereka bagi perbincangan lanjut. Banyak benda yang perlu dibincangkan, termasuklah soal gaji.

“Mungkin dalam masa terdekat (seminggu lagi) dan harap semuanya bakal jadi kenyataan,” katanya kepada media selepas tamat perlawanan persahabatan di antara pasukan bekas pemain Kelantan menentang bekas pemain kebangsaan di Stadium Sultan Muhammad Ke IV, malam kelmarin.

Piya, yang juga bekas perancang tengah kebangsaan, mendedahkan dia turut menerima beberapa tawaran menarik daripada pasukan lain, namun membayangkan akan terus menabur jasa bersama The Red Warriors (TRW).

“Ada dua tiga pasukan dari Liga Super dan Liga Perdana berminat untuk menggunakan khidmat saya musim depan, namun jiwa saya masih kental untuk beraksi bersama TRW musim depan."

Ditanya mengenai keputusan dua bintang muda TRW, Mohamad Qayyum Marjoni Sabil dan Mohamad Faris Shah, untuk kekal beraksi di Kelantan, Piya mengalu-alukannya dan berharap lebih ramai tonggak memilih untuk bersama Kelantan mengharungi musim lebih mencabar tahun depan.

“Tahniah kepada Qayyum (Mohd Qayyum Marjoni Sabil) dan Black (Mohd Faris Shah) yang buat keputusan untuk kekal bersama TRW semusim lagi. Keputusan ini tentunya menggembirakan KAFA dan penyokong yang sentiasa berdiri teguh di belakang TRW," katanya.

Perlawanan yang dianjurkan oleh Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) itu turut disertai Khalid Ali, Datuk Soh Chin Aun, Datuk Santokh Singh dan Hassan Sani.