Jurulatih negara, Datuk Ong Kim Swee, enggan menjadikan rekod lalu sebagai ukuran terhadap kekuatan sebenar Kemboja meskipun Malaysia tidak pernah kalah kepada pasukan lawan itu sejak hampir lima dekad lalu.

Skuad negara memiliki rekod hebat berdepan Kemboja sepanjang pertemuan kedua-dua pasukan sebelum ini.

Tidak pernah kalah sejak 1970, pertemuan terakhir ketika aksi persahabatan antarabangsa pada September 2014 juga menyaksikan kemenangan 4-1 memihak kepada skuad negara.

Namun, Kim Swee berasakan kekuatan skuad Kemboja kali ini adalah berbeza walaupun beliau mengakui kemenangan aksi pertama amat penting untuk mengharungi cabaran di peringkat kumpulan.

"Kami tidak boleh mengambil mudah biarpun Kemboja bukan lagi seperti yang dulu.

"Mereka telah mempamerkan peningkatan mendadak.

"Mereka telah melakukan tugas dengan baik. Lihat sahajalah sokongan yang diraih mereka semasa bermain di tempat sendiri. Itu akan menyuntik motivasi kepada mereka.

"Saya percaya pertemuan kedua-dua pasukan akan berlangsung sengit esok. Namun, kami semestinya ingin mencapai sasaran kami," kata Kim Swee dalam sidang media rasmi sempena perlawanan pembukaan Kumpulan B, esok.

Membawa reputasi selaku juara peringkat kelayakan pada bulan lalu, skuad bimbingan Lee Tae Hoon itu sudah pasti menyandarkan harapan kepada tonggaknya, Prak Mony Udom dan Chan Vhatanaka.

"Malaysia, Myanmar dan begitu juga Kemboja adalah lawan yang sukar untuk dihadapi.

"Dalam kejohanan ini, corak permainan pantas adalah penting dan sukar. Kami akan cuba memberikan aksi terbaik ketika berdepan Malaysia," ujar Tae Hoon.