Kedah Darul Aman FC (KDA FC) akan merintis ranjau berliku apabila kehilangan tonggak pertahanan, Renan Alves, dalam misi merampas Piala Sumbangsih dari tangan Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Sultan Ismail malam esok.

Ketua jurulatihnya, Aidil Sharin Sahak, mengesahkan bahawa tonggak pertahanan dari Brazil itu masih berlum cergas sepenuhnya memandangkan baru pulih daripada kecederaan.

Situasi itu sememangnya menyukarkan buat jurulatih dari Singapura itu memandangkan skuad Lang Merah berkenaan hanya memiliki Alves selaku satu-satunya pertahanan import musim ini.

"Sejujurnya, Renan Alves tidak cergas 100 peratus, jadi saya fikir tiada apa untuk disembunyikan," kata Aidil Sharin.

"Kami perlu melaluinya dengan apa yang kami ada dan saya percaya kepada pemain yang akan turun beraksi kerana saya fikir ia bukan perkara baru buat saya memandangkan saya sudah melalui banyak situasi di mana saya kehilangan pemain tonggak dalam perlawanan besar.

"Seperti yang saya katakan, selagi saya mempunyai 11 pemain di atas padang, 11 orang yang berhati besar dan saya percaya mereka akan memberikan yang terbaik," katanya.